Komputer Terhadap Kesihatan Mata | MirulShow

Komputer Terhadap Kesihatan Mata


Peningkatan penggunaan komputer di kalangan masyarakat samada untuk tujuan kerja, pembelajaran mahupun bagi tujuan- tujuan lain seperti permainan komputer, melayari internet atau pencarian maklumat telah menimbulkan kebimbangan akan tentang kesannya terhadap fungsi penglihatan secara khususnya, serta kesihatan umum secara amnya. Dianggarkan 25% hingga 93% pengguna komputer mengalami simptom-simptom yang dikaitkan dengan penggunaan komputer.  

Komputer Terhadap Kesihatan Mata

Gejala dan tanda

Diantara simptom-simptom yang biasa dialami oleh pengguna komputer tegar ialah:

1. Sengal-sengal mata (eyestrain)

2. Kabur penglihatan
3. Mata kering (dry eyes)
4. Ketidakselesaan penglihatan
5. Sakit kepala
6. Simptom-simptom lain yang turut disebabkan oleh penggunaan komputer seperti sakit dibahagian tengkuk dan juga belakang badan (back and neck pain).

Semua simptom-simptom ini boleh digolongkan sebagai tanda-tanda klasik bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer (computer vision syndrome).


Bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah-masalah yang dihadapi oleh pengguna komputer ini, peranan optometrist sebagai pengamal jagarawatan mata primer untuk penglihatan adalah amat penting.


Diagnosis, Pencegahan, Rawatan dan Rehabilitasi


Diagnosis dan rawatan bagi sindrom penglihatan penggunaan komputer adalah tugas yang amat mencabar bagi seorang optometrist kerana ia melibatkan faktor-faktor penglihatan dan okular serta faktor-faktor ergonomik seperti pencahayaan, postur ketika penggunaan komputer, posisi dan kedudukan komputer itu sendiri. Namun begitu, ini tidak bermakna masalah ini tidak boleh diatasi dan diselesaikan dengan kaedah pendiagnosian dan rawatan yang betul seperti berikut :


- Pemeriksaan Penglihatan


Pemeriksaan penglihatan khususnya oleh optometrist secara menyeluruh dan komprehensif mampu memberikan jalan penyelesaian bagi mereka yang menghadapi simptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Namun begitu, tidak dinafikan bahawa selain pendekatan optometrik, sindrom penglihatan komputer memerlukan pendekatan multidisiplin yang bukan sahaja melobatkan terapi secara ocular malahan juga beberapa perubahan ergonomik khususnya dari segi pengubahsuaian tempat kerja supaya dapat mengurangkan, jika tidak melenyapkan, symptom-simptom yang berkaitan dengan penggunaan komputer.
 


- Pencahayaan


Pencahayaan adalah amat penting di dalam menentukan keselesaan penggunaan komputer. Pencahayaan yang sesuai dapat membolehkan pengguna komputer meningkatkan tahap keselesaan serta prestasi dan juga meminimumkan gangguan serta keletihan visual (visual fatigue).


* Persekitaran yang ideal ialah persekitaran yang mempunyai tahap kecerahan yang sekata pada keseluruhan medan penglihatan pengguna komputer adalah diperlukan. Lampu kalimantang (fluorescence lighting) yang terlalu terang perlu dikurangkan kecerahannya dengan mengurangkan penggunaan jumlah tiub lampu.


* Sumber cahaya yang berlebihan yang datang dari tingkap perlu dikurangkan dengan penggunaan langsir atau menggelapkan tingkap terbabit. Namun begitu, sekiranya sumber-sumber cahaya yang berlebihan berkenaan tidak dapat dielakkan, pengubahsuaian terhadap tempat kerja komputer perlu dibuat, seperti beralih ke posisi tempat yang kurang sumber cahaya yang berlebihan.


* Penggunaan penapis anti-silau juga dapat membantu mengurangkan silau dan meningkatkan kontras paparan komputer, yang berpunca daripada sumber cahaya yang berlebihan. Ini dapat membantu mengurangkan pantulan cahaya seterusnya mengurangkan ketidakselesaan visual.


- Ergonomik

Di samping itu juga, suai-letak paparan computer juga memainkan peranan dalam memberikan keselesaan terhadap penggunaan komputer. Prinsip asas seperti berikut boleh diamalkan :

* Jarak skrin paparan daripada mata supaya berada di antara 16 hingga 30 inci.


Skrin paparan berada 10 hingga 20 darjah di bawah paras mata. Dengan cara ini, simptom-simptom fizikal akibat postur yang salah dapat dielakkan, dan keselesaan penggunaan komputer juga dapat ditingkatkan.

- Masalah Berkaitan Penglihatan Seseorang


1. Penglihatan Lesu (Visual Fatigue)


Penggunaan komputer yang berterusan untuk jangka masa yang lama didapati menyumbang kepada masalah-masalah yang berkaitan penglihatan. Adalah disarankan supaya pengguna komputer berehat selepas menggunakan komputer berterusan untuk sesuatu jangka waktu :


* Merehatkan sistem akomodasi mata dengan memandang objek-objek jauh dua kali setiap jam selama satu hingga dua minit sebelum meneruskan tugasan komputer. Ini membolehkan sistem okular khususnya sistem akomodasi direhatkan seterusnya dapat menghindari masalah-masalah seperti kabur penglihatan sementara serta sengal-sengal mata yang lazim dialami akibat penggunaan komputer secara berterusan.

2. Sindrom Mata Kering (Dry Eye Syndrome)


Turut menerima kesan terhadap penggunaan komputer yang berpanjangan ialah sistem lubrikasi okular di mana pengguna komputer akan kurang mengelipkan mata ketika penggunaan komputer menyebabkan air mata pra-kornea lebih cepat tersejat ke persekitaran. Ini boleh mengakibatkan rasa iritasi dan juga kepedihan mata akibat sindrom mata kering (dry eye syndrome).


* Penggunaan titisan lubrikasi seperti titisan air mata tiruan (artificial tears) yang boleh didapati di farmasi-farmasi serta prakris-praktis optometri yang berhampiran. Namun begitu, konsultasi daripada optometrist adalah penting sebelum sebarang cecair lubrikasi digunakan khususnya bagi pemakai-pemakai kanta sentuh. Ini kerana, cecair lubrikasi ini mempunyai kandungan bahan pengawet tertentu yang mungkin boleh menyebabkan reaksi alahan dan juga merosakkan kanta sentuh yang dipakai oleh pengguna.

3. Rabun Penglihatan


Bagi mereka yang mempunyai masalah penglihatan seperti miopia (rabun jauh), hiperopia (rabun dekat) dan juga presbiopia (lemah akomodasi akibat peningkatan umur), penggunaan komputer pada jangka waktu yang terlalu lama boleh mendatangkan masalah terhadap sistem penglihatan.


* Disarankan supaya pengguna-pengguna komputer yang menggunakan komputer lebih daripada satu jam sehari memakai cermin mata khusus bagi penggunaan komputer (computer glasses). Terdapat pelbagai jenis cermin mata khas yang berada dipasaran bagi penggunaan komputer. Di antaranya ialah cermin mata jenis bifokal, multifocal, trifoxal dan juga progresif. Pemilihan jenis cermin mata adalah bergantung kepada keperluan pengguna serta nasihat dan konsultasi daripada optometrist bertauliah. Optometrist perlu menjalankan pemeriksaan refraksi khas bagi tujuan ini untuk membolehkan cadangan dan saranan dikemukakan kepada pengguna bagi memilih jenis cermin mata yang besesuaian dengan kehendak dan keperluan pengguna komputer.

Kesimpulan


Para pengguna komputer yang mengalami sindrom penglihatan komputer akan mengalami pelbagai masalah dan juga simptom, samada berkaitan penglihatan ataupun tidak. Adalah penting bagi optometrist dan pakar penjagaan penglihatan menjalankan pemeriksaan yang terperinci khususnya dari segi keperluan dan kehendak pengguna komputer serta mengetahui simptom-simptom dan tanda-tanda yang berkaitan dengan penggunaan komputer. Sindrom ini boleh dielakkan dan dirawat dengan menggunakan pelbagai kaedah seperti melakukan pengubahsuaian ergonomik, pemakai cermin mata yang bersesuaian, perubahan pencahayaan serta pengamalan penggunaan penglihatan secara sihat (visual hygiene). Bagi kebanyakkan orang, penggunaan komputer adalah amat penting lebih-lebih lagi dalam era teknologi dan globalisasi kini, samada penggunaan di rumah mahupun di pejabat. Banyak lagi perkara yang perlu difahami tentang kesan penggunaan komputer terhadap sistem penglihatan. Namun langkah-langkah pencegahan seperti yang disarankan di dalam artikel ini mampu sedikit sebanyak perlindungan terhadap mata pengguna serta mencegah masalah-masalah yang mungkin timbul di dalam apa yang dikatakan sebagai epidemik abad ke-21.

Artikel Yang Lain :

Comments

Post a Comment

Let's Click-Click